Perbicaraan Rasuah RM2.8 Juta Bung Moktar Ditangguh Lepas PRN Sabah
KUALA LUMPUR | 13 November 2025
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini, dibenarkan menangguhkan perbicaraan bela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Hakim Rosli Ahmad memutuskan perbicaraan yang dijadualkan pada 27 November dan 3 Disember ditunda ke 12 hingga 14 Januari tahun depan, selepas mahkamah menerima permohonan rasmi daripada pihak pembelaan pada 4 November lalu.
Penangguhan turut melibatkan kes bersubahat yang dihadapi isteri beliau, Datin Seri Zizie Izette A. Samad, yang dijangka akan memberi keterangan pada prosiding seterusnya.
Menurut kertas pertuduhan, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, didakwa menerima suapan tunai RM2.2 juta, RM262,500 dan RM337,500 sebagai dorongan meluluskan pelaburan Felcra sebanyak RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad pada tahun 2015.
Wang tersebut didakwa diterima melalui akaun dan nama isterinya di Public Bank, Taman Melawati.
Pertuduhan dibuat di bawah Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 — mengikut mana lebih tinggi.
Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung kes sama.
