GRS Lengkap Senarai 55 Calon Hadapi PRN Sabah Ke-17
KOTA KINABALU | 13 November 2025
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini menutup tirai pengumuman calon dengan memperkenalkan empat lagi nama terakhir yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, melengkapkan keseluruhan 55 kerusi DUN yang ditandingi gabungan itu.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata calon baharu yang diumumkan ialah:
- Dr Bonaventure Boniface (N14 Tamparuli)
- Rafie Robert Tawik (N40 Bingkor)
- Samsiah Usman (N70 Kukusan)
- Datuk Hassan A. Gani Pg Amir (N73 Sebatik)
Menurut Hajiji, calon-calon ini mewakili pelbagai latar belakang dan kepakaran, sekaligus memperkukuh kekuatan GRS di seluruh negeri.
“Mereka ini membawa semangat baharu serta pengalaman tersendiri. Saya yakin keempat-empat calon mampu membantu memastikan kemenangan GRS di kawasan masing-masing,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, Khamis.
Hajiji turut menyeru seluruh jentera dan penyokong GRS supaya terus bersatu memastikan mandat rakyat dikekalkan, bagi membolehkan kerajaan pimpinan GRS meneruskan agenda pembangunan dan kestabilan negeri.
Semalam, Hajiji mengumumkan 51 calon pertama GRS yang menampilkan keseimbangan antara pemimpin berpengalaman dan muka baharu, dengan 35 peratus calon muda disenaraikan bagi PRN kali ini.
