PIS Umum 73 Calon — 16% Anak Muda & Wanita, Tapi Janji Jiwa Baharu Untuk Sabah

KOTA KINABALU | SUARA SABAH — Parti Impian Sabah (PIS) muncul sebagai parti pertama di Sabah yang melengkapkan senarai penuh 73 calon bagi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Presiden PIS, Michel Alok, mengumumkan bahawa semua watikah pelantikan telah diserahkan, menandakan parti itu sudah bersedia sepenuhnya menempuh gelanggang politik negeri tanpa sebarang perubahan calon.

“Parti Impian Sabah adalah yang pertama umumkan 73 calon dengan watikah sekali — tiada lagi ubah nama. Inilah pejuang kami untuk PRN ke-17,” tegas Michel dalam Majlis Amanat Presiden di Penampang.

Daripada keseluruhan calon, 8% terdiri daripada belia di bawah 40 tahun, manakala 8% lagi adalah wanita — menjadikan jumlah penyertaan golongan muda dan wanita sekitar 16% keseluruhan.

Walaupun angka itu kecil, Michel menegaskan bahawa semangat baharu dan hati muda calon-calon berpengalaman akan menjadi kekuatan sebenar PIS.

“Mungkin mereka dewasa, tapi hati masih muda. Mereka tahu bergaul dengan belia, tahu apa rakyat mahu. Yang penting, jiwa perjuangan masih segar,” katanya.

Beliau turut menyindir parti-parti lama yang menurutnya “sudah terlalu lama berkuasa” tanpa perubahan bermakna kepada rakyat Sabah.

“Kita lihat ada pemimpin yang sudah enam penggal duduk di tempat sama. PIS tampil dengan pendekatan baharu, pemimpin baharu dan jiwa baharu. Kami yakin rakyat mahu perubahan kali ini,” jelas Michel.

Dengan pendekatan yang lebih segar dan naratif “Suara Baharu Sabah”, PIS dilihat cuba menembusi kubu-kubu lama GRS, BN dan Warisan — membawa mesej “impian baharu untuk rakyat biasa” di tengah keletihan rakyat terhadap politik lama.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *