SPR Akan Umum Tarikh Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 Dalam Masa Terdekat
KOTA KINABALU, 7 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi menentukan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 susulan pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16.

Dalam kenyataan rasmi, SPR memaklumkan bahawa tarikh mesyuarat khas berkenaan akan diumumkan kemudian, dan pihaknya kini dalam keadaan siap sedia sepenuhnya untuk melaksanakan pilihan raya tersebut.
“SPR mengambil maklum mengenai pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah pada hari ini. SPR telah bersedia untuk melaksanakan pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 21 Fasal (4), Perlembagaan Negeri Sabah,” menurut kenyataan itu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sebelum ini mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, sekali gus menandakan bermulanya tempoh rasmi bagi pelaksanaan PRN Sabah ke-17.
Pengumuman tarikh penamaan calon dan hari pengundian dijangka dilakukan selepas mesyuarat khas SPR diadakan dalam masa terdekat.
#SuaraSabahNews
#PRNSabah2025
#DUNSabahDibubarkan
#SuaraRakyatSuaraKebenaran
