Polis Minta Saksi Kemalangan Maut di Jalan Bombalai Tampil Bantu Siasatan
TAWAU, 7 OKT: Polis menyeru orang awam yang menyaksikan kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal di Jalan Bombalai, di sini pada Ahad lalu, supaya tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata kemalangan berlaku sekitar jam 8.30 pagi berhampiran simpang Ladang Table apabila motosikal mangsa dipercayai bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 56 tahun dari arah Kalabakan menuju ke bandar Tawau.
“Sebaik tiba di lokasi, pemandu terbabit dipercayai bertembung dengan sebuah motosikal yang keluar dari simpang Ladang Table sambil membelok ke kanan menuju ke Jalan Bombalai. Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal berusia 48 tahun tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat, manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta mana-mana saksi atau individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau bagi membantu siasatan.
#SuaraSabahNews
#KemalanganTawau
#JalanBombalai
#SuaraRakyatSuaraKebenaran
