PEMANDU VAN DITAHAN, DISYAKI CABUL PELAJAR SEKOLAH DI TAWAU
TAWAU, SABAH | SUARA SABAH NEWS — Seorang pelajar perempuan melalui detik hitam apabila didakwa dicabul oleh pemandu van yang sepatutnya menghantarnya pulang ke rumah di kawasan Merotai, semalam.
Menurut laporan, kejadian berlaku sekitar jam 12.50 tengah hari, ketika mangsa berada di dalam van tersebut. Suspek dikatakan bertindak mencabul mangsa sebelum pelajar itu menceritakan insiden kepada ahli keluarganya.
Bimbang dengan keselamatan anak, keluarga mangsa segera membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, mengesahkan pihaknya telah menahan seorang lelaki warga asing berusia 32 tahun pada hari sama selepas operasi dijalankan oleh pasukan dari Balai Polis Bombalai.
“Polis turut merampas sebuah van yang dipercayai digunakan semasa kejadian. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman berat terhadap individu yang melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak.
🟡 Suara Sabah News
Suara Rakyat, Suara Kebenaran

