LIGA SUPER: SABAH FC PERLU DIBINA SEMULA DARI ASAS – DE MARIGNY

KOTA KINABALU | SUARA SABAH NEWS — Ketua jurulatih Sabah FC, Daniel Jean-Paul De Marigny, mengakui pasukannya perlu melalui proses pembinaan semula menyeluruh selepas prestasi hambar yang ditunjukkan pada awal musim Liga Super kali ini.

Menurut De Marigny, terdapat banyak aspek yang perlu diperbaiki, bukan sahaja dari segi taktikal, tetapi juga struktur dan asas kelab itu sendiri.

“Saya rasa memang banyak perkara yang Sabah FC perlu lakukan untuk memperbaiki kelab secara keseluruhan. Bila asas itu kukuh, barulah kita boleh membina sesuatu yang kuat,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Kuching City FC, malam tadi.

Dalam aksi di Stadium Likas, Sabah FC tewas 0-1 kepada pasukan pelawat, menjadikan rekod pasukan kini tiga seri dan tiga kekalahan daripada enam perlawanan.

Walaupun keputusan tidak memihak kepada mereka, De Marigny menegaskan seluruh barisan kejurulatihan dan pemain tetap menunjukkan komitmen tinggi dan memahami hala tuju pasukan yang sedang dibina.

“Apabila anda sedang membina sesuatu, anda perlu bermula dari asas. Saya mungkin akan lakukan sedikit pelarasan dari segi taktikal, tetapi buat masa ini keutamaan adalah membina asas yang kukuh,” jelas jurulatih kelahiran Australia itu.

Beliau turut menyatakan bahawa fokus kini beralih kepada perlawanan suku akhir Piala FA menentang Kelantan United FC pada 17 Oktober ini, dan proses pemulihan fizikal serta mental pemain akan diberi perhatian sebelum perlawanan tersebut.

De Marigny turut memuji persembahan Kuching City yang disifatkannya memiliki struktur permainan yang baik serta disiplin dan mentaliti tinggi, namun yakin pemain Sabah mampu bangkit dengan gaya permainan lebih tenang dan tersusun selepas ini.

🟡 Suara Sabah News
Suara Rakyat, Suara Kebenaran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *