“Kami Tiada Kayu Sakti”: Hajiji Jawab Kritikan Isu Air Sabah, Rakyat Tanya Sampai Bila?
Oleh Suara Sabah News
KOTA KINABALU – “Ada yang petik nama saya setiap hari kenapa lambat siap, tapi kami tiada kayu sakti, buat hari ini esok terus siap,” kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika mengulas isu bekalan air yang semakin membebankan rakyat di seluruh negeri.
Kenyataan itu dimuat naik melalui Facebook rasmi Ketua Menteri Sabah, di mana beliau menjelaskan bahawa kerajaan sedang berusaha melaksanakan pelbagai projek naik taraf sistem air, termasuk beberapa yang telah siap dan ada yang dijangka siap dalam masa terdekat.
Namun, bagi rakyat Sabah yang telah bertahun-tahun hidup dengan gangguan air, tekanan rendah, dan jadual bekalan tidak menentu, kenyataan “tiada kayu sakti” dilihat kurang meyakinkan dan menambah rasa kecewa terhadap kemampuan kerajaan negeri menangani krisis asas ini.
Ramai pengguna media sosial membalas kenyataan tersebut dengan nada sinis, menuntut penyelesaian sebenar, bukan sekadar alasan atau janji berulang.
“Kami bukan mahu kayu sakti, kami mahu air mengalir di paip rumah,” tulis seorang pengguna Facebook dari Tuaran.
Sementara itu, beberapa kawasan seperti Kota Belud, Sandakan, dan Papar dilaporkan masih menghadapi gangguan air hampir setiap minggu, meskipun beberapa projek bekalan air telah diumumkan sebagai “siap sepenuhnya”.
Suara Sabah News difahamkan, antara projek yang disebut termasuk Loji Rawatan Air Telibong 2 Fasa 1, serta beberapa pelan jangka panjang untuk menambah kapasiti bekalan di daerah utama.
Namun persoalannya kekal: sampai bila rakyat Sabah harus menunggu air yang dijanjikan itu benar-benar sampai ke rumah mereka?
Suara Sabah News – Suara Rakyat, Suara Kebenaran.

