Beluran: Penduduk Mengadu Tiga Minggu Tanpa Minyak Masak Paket
BELURAN: Penduduk di beberapa kawasan sekitar Beluran merungut apabila bekalan minyak masak paket bersubsidi didakwa sudah tiada lebih tiga minggu, menyebabkan mereka terpaksa membeli minyak masak botol pada harga lebih tinggi.
Seorang penduduk, Ahmad Pindut, berkata keadaan itu menjejaskan penduduk kampung terutama keluarga berpendapatan rendah yang bergantung kepada minyak masak paket sebagai keperluan harian.
“Minyak masak botol jauh lebih mahal. Kami harap pihak berkuasa segera menyemak perkara ini kerana sudah lama kami tidak nampak minyak masak paket di kedai,” katanya.
Penduduk mendesak agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) segera menyemak bekalan dan pengedaran minyak masak bersubsidi di daerah ini bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan.
Mereka juga berharap isu kekurangan bekalan ini tidak berlarutan, terutama menjelang musim perayaan dan hujung tahun yang biasanya menyaksikan peningkatan permintaan bahan masakan tersebut.
