Lelaki Dikhuatiri Dibaham Buaya Ketika Baiki Pukat di Sungai Silabukan

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing, 27, dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika membaiki pukat di Sungai Silabukan, Indrawan Estate, sekitar 12.40 tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau, berkata laporan diterima daripada seorang pengadu sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

“Polis Balai Lahad Datu bersama JBPM dan APM menjalankan pencarian awal di lokasi. Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) diaktifkan pada 9.15 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau memaklumkan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH) dan pencarian diteruskan di kawasan sungai berkenaan.

Orang awam diingatkan tidak melakukan aktiviti di kawasan berisiko yang diketahui menjadi habitat buaya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Polis Balai Lahad Datu, Insp. Adzilee Suili (014-866 5087) bagi membantu siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *