Retorik “Selamatkan Sabah”: Warisan Cuba Hidupkan Semula Kepercayaan Rakyat?
Oleh Alias Mohamad | Suara Sabah News
KOTA KINABALU – Mampukah Parti Warisan benar-benar “menyelamatkan Sabah” jika kembali memerintah, selepas ditolak rakyat pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16), September 2020?
Persoalan ini semakin hangat diperkatakan apabila pimpinan Warisan giat menggerakkan kempen “Selamatkan Sabah” di seluruh negeri menjelang PRN17 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Namun, rakyat kini mula bertanya — apa sebenarnya yang mahu diselamatkan? Adakah negeri ini benar-benar berada dalam keadaan parah seperti yang digambarkan, atau sekadar naratif politik untuk meraih simpati menjelang pilihan raya?
Pemerhati politik melihat slogan tersebut sebagai usaha mengembalikan keyakinan rakyat setelah kegagalan Warisan mempertahankan tampuk pemerintahan lima tahun lalu. Walau bagaimanapun, ramai berpendapat kempen ini mungkin sekadar ulang tayang retorik lama dalam bentuk baharu, tanpa tawaran jelas mengenai masa depan ekonomi dan sosial Sabah.
Kini, rakyat menunggu sama ada Warisan akan tampil dengan pelan tindakan konkrit, atau terus bermain dengan slogan sentimental yang semakin kehilangan makna.
Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Suara Sabah News.

