Albert Tei Dedah ‘Rancangan Monopoli’ Industri Besi Buruk Sabah — Kaitkan Nama Pemimpin PBS!
Ahli perniagaan sensasi Albert Tei, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi besar dengan pendedahan skandal perlombongan Sabah, kini kembali — kali ini dengan dakwaan lebih panas melibatkan pemimpin kanan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Menurut Tei, beliau pernah terlibat dalam usaha didakwa diketuai oleh pemangku presiden PBS, Datuk Joachim Gunsalam, untuk memonopoli industri besi buruk di Sabah ketika Gunsalam masih Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Industri.


Namun, Gunsalam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.
Tei pula mencabar beliau untuk buat laporan polis sekiranya tuduhan tersebut tidak benar — “Kalau saya fitnah, buktikan!” katanya.
Untuk menguatkan dakwaannya, Tei turut mendedahkan dua surat rasmi bertarikh 2022, masing-masing didakwa ditandatangani oleh Gunsalam dan Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Isu ini kini menimbulkan gelombang baharu dalam politik Sabah, dengan ramai pemerhati menantikan reaksi lanjut daripada PBS dan pihak berkuasa.
