OPERASI NARKOTIK DI MEROTAI TAHAN LELAKI DISYAKI PENGEDAR
TAWAU, 8 Oktober 2025 -Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tawau dalam dua serbuan yang dijalankan berasingan di Kampung Merotai Besar dan kebun sawit Jalan Tanah Merah Merotai Besar telah menahan dua orang lelaki warganegara tempatan dan warga asing berusia di antara 25 hingga 37 tahun kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Pemeriksaan lanjut yang dilakukan polis ke atas suspek disyaki pengedar semasa serbuan pertama telah menemui lapan paket plastik lutsinar yang berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 5.13 gram. Manakala dalam serbuan kedua pula polis telah menemui sepaket plasti lutsinar mengandungi bahan sama dianggarkan seberat 0.11 gram
Suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
