Dua Lelaki Ditahan Miliki Syabu di Tongod, Polis Rampas 50 Gram Dadah
BELURAN, 3 OKTOBER 2025:Dua lelaki tempatan berusia 33 dan 28 tahun ditahan oleh sepasukan anggota Balai Polis Tongod, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu rondaan cegah jenayah di kawasan Maxland, Kampung Imbak, Tongod, petang Jumaat.
Menurut kenyataan polis, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang ketika anggota sedang menjalankan rondaan rutin sebelum menahan sebuah motosikal Honda Wave hitam tanpa nombor pendaftaran yang ditunggang dua lelaki mencurigakan.
Hasil pemeriksaan lanjut menemukan satu bungkusan plastik biru yang mengandungi plastikan lut sinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 50.12 gram.
Kedua-dua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman berat termasuk penjara dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pihak polis menegaskan bahawa kegiatan pengedaran, pemilikan atau penyalahgunaan dadah merupakan satu kesalahan serius di sisi undang-undang.
Orang awam digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah bagi membantu usaha membanteras jenayah ini.
Sebarang maklumat boleh disalurkan terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran di talian 089-511222.



#SuaraSabahNewsSuara Rakyat, Suara Kebenaran
